CARA KIRA BMI UNTUK PELAJAR SEKOLAH RENDAH/MENENGAH

CARA KIRA BMI UNTUK PELAJAR SEKOLAH RENDAH/MENENGAH

CARA KIRA BMI

 

Cara kira BMI adalah penting untuk kita mengetahui berat ideal bagi ketinggian yang bersesuaian dengan merujuk carta BMI.

Maka dengan berpandukan BMI, lebih mudah untuk kita meletakkan sasaran untuk memulakan diet, sama ada untuk peningkatan ataupun penurunan berat agar dapat mencapai berat badan yang unggul.

Apakah BMI?

Body Mass Index atau singkatannya BMI adalah indeks jisim badan iaitu ukuran untuk menilai berat badan anda berbanding dengan ketinggian.

PROGRAM BMI MURID PRA SEKOLAH TAHUN 1 HINGGA TAHUN 3 2022

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (2019) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati bahawa 29.8 peratus kanak-kanak berumur 5 hingga 17 tahun  mempunyai masalah berat badan. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan Garis Panduan untuk Pelaksanaan Standard Pengukuran Indeks Jisim untuk murid – murid sekolah di Malaysia. Di peringkat sekolah, pelaksanaan program BMI 5-9T ini dilaksanakan secara sistematik dua kali setahun bermula dengan Ujian Pertama pada 13 Jun hingga 15 Julai 2022 dan Ujian Kedua pada 1 November hingga 30 November 2022.

OBJEKTIF PROGRAM BMI 5-9T 

  • Murid dapat mengetahui status BMI diri mereka sendiri.
  • Melakukan aktviti fizikal secara tekal untuk mencapai tahap kecergasan fizikal.
  • Memberi kesedaran kepada murid dan ibu bapa terhadap pemakanan yang sihat dan selamat.
  • Mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat dalam kehidupan harian bagi mengelakkan masalah obesity di sekolah.

Sasaran Murid PROGRAM BMI 5-9T 

Semua murid yang berumur 5 hingga 9 tahun.

Cara Kira BMI Secara Manual

Untuk mengetahui cara kira BMI, kita cuma perlukan 2 maklumat utama iaitu BERAT BADAN (dalam kg) dan KETINGGIAN (dalam meter).

Dan daripada hasil cara kira BMI nanti kita akan merujuk pula pada carta BMI untuk mengetahui sama ada normal, kurang berat, lebih berat badan atau obes.

Ringkasnya, cara kira BMI secara manual adalah dengan menggunakan formula ini:

FORMULA KIRA BMI

BMI = Berat (kg) / ketinggian (m)²

Contoh cara kira BMI:

Berat Badan = 70kg

Tinggi = 165cm = 1.65M

Maka, BMI = 70kg / (1.65m x 1.65m) = 25.7

 

CARTA BMI (Dewasa)

Jika BMI anda kurang daripada 18.5kg/m², anda adalah kurang berat badan.

Anda adalah berlebihan berat badan jika BMI anda adalah 25 hingga kurang dari 30 kg/m². Jika BMI anda adalah 30 atau lebih, anda adalah obes.

Jika BMI anda (kg/m²) adalah :     Anda adalah :

< 18.5    Kurang berat badan

18.5 – 24.9          Mempunyai berat badan unggul

25 – 30  Berlebihan berat badan

30 atau lebih       Obes

Kategori berat badan mengikut BMI (Dewasa)

*Nota :

Carta BMI di atas ini hanya sesuai untuk individu dewasa yang berusia antara 18 hingga 65 tahun.

Bagi warga emas, kanak-kanak, dan ibu mengandung, cara kira BMI adalah sama namun carta BMI yang perlu dirujuk adalah berbeza.

 

Cara Kira BMI Kanak-kanak

Cara kira BMI bayi dan kanak-kanak adalah sama dengan dewasa, namun carta rujukannya adalah berbeza.

Berikut adalah carta pertumbuhan bayi dan kanak-kanak yang boleh dirujuk untuk melihat tahap kesihatan mereka berdasarkan Graf BMI bayi dan kanak-kanak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

i) Graf BMI Bayi 2 Tahun Ke Bawah

Setiap carta rujukan pertumbuhan mempunyai kawasan berlainan yang menunjukkan kategori BMI anak anda:

  • Jika BMI anak berada pada kawasan merah carta – ‘berlebihan berat badan’ / ‘kekurangan berat badan’
  • Jika BMI anak berada pada kawasan kuning carta -‘berisiko berlebihan berat badan / kekurangan berat badan’
  • Jika BMI anak berada pada kawasan putih carta – ‘berat badan normal’

ii) Graf BMI Kanak-kanak 2 Tahun Hingga 5 Tahun

Sumber : MyHealth.gov.my

iii) Graf BMI Kanak-kanak & Remaja (5-19 Tahun)

 

Keistimewaan Mempunyai Berat Badan Unggul

Anda mempunyai berat badan unggul sekiranya BMI anda adalah di antara 18.5 hingga 24.9/km².

Kajian menunjukkan bahawa jangka hayat seseorang yang mempunyai BMI unggul adalah lebih tinggi daripada seseorang yang mempunyai BMI yang lebih rendah atau tinggi.

Cara Mencapai Berat Badan Unggul Secara Realistik

Menurut Portal MyHealth, berikut adalah antara cara realistik yang boleh dilakukan untuk mencapai berat badan unggul:

  • Tetapkan sasaran yang realistik untuk menurunkan setengah kilogram berat badan dalam seminggu.
  • Pastikan keperluan tenaga anda.
  • Timbang berat badan anda sekali seminggu, sebaik- baiknya sebelum makan.
  • Makan makanan yang sihat secara sederhana berdasarkan Piramid Makanan Malaysia.
  • Jangan sekali-kali menyekat diri untuk tidak makan atau mengehadkan kalori jika anda sangat lapar. Jika anda berbuat demikian, anda selalunya akan makan mengikut nafsu selepas itu.
  • Buat beberapa modifikasi dalam diet anda.
  • Kurangkan atau elakkan makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak seperti mentega,krim, daging yang berlemak, sos salad, kek dan pastri.
  • Elakkan makan atau minum semasa menonton televisyen atau membaca.
  • Lakukan senaman sederhana seperti berjalan laju, berbasikal dan berenang sekurang-kurangnya 60 minit, lima hingga enam hari seminggu.
  • Jumpa doktor untuk mengenal pasti dan membetulkan masalah perubatan, biologikal atau fisiologikal yang berkaitan yang boleh menyumbang kepada berat badan yang berlebihan.
  • Jumpa pakar pemakanan untuk mendapatkan maklumat tentang pengurusan berat badan anda.
  • Dapatkan sistem sokongan. Rakan-rakan adalah kumpulan sokongan yang bagus.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut tentang cara kira BMI sila hubungi doktor yang pakar dalam bidang yang anda ingin ketahui.

BMI adalah indikasi bagi mengetahui berat badan ideal berdasarkan ketinggian kita.

Ia membolehkan kita mengetahui tahap kesihatan dan membantu kita mencapai sasaran terutamanya dalam menetapkan diet harian.

Namun, nilai BMI bukanlah satu-satunya cara untuk mendapatkan kepastian berkenaan risiko kesihatan sebenar anda.

Maka jika ada sebarang masalah kesihatan, jangan teragak-agak untuk berjumpa doktor bagi membincangkannya.

Artikel lain : Cara Mengelakkan Risiko Jangkitan HFMD

 

Leave a Comment