Contoh Teks Pidato Bahasa Melayu (Format & Isi Menarik)

Contoh Teks Pidato Bahasa Melayu (Format & Isi Menarik)

 

Teks Pidato

Sekiranya anda perlu menyampaikan pidato, usah risau lagi. Tugas pemidato adalah amat sukar tapi menyeronokan.Kami akan membantu anda dengan meneydiakan teks lengkap pidato Bahasa Melayu untuk rujukan anda.

 

Apa Itu Pidato

Pidato ialah syarahan kepada umum, atas tajuk tertentu yang disampaikan oleh seorang penyampai yang dipanggil “pemidato”, mengandungi pendahuluan, isi, dan penutup.

Tujuan Pidato

Pidato bertujuan menyampaikan idea berkenaan sesuatu isu kepada hadirin, dalam masa yang sama meyakinkan hadirin tersebut melalui cara pembawaan pidato. Pemidato mestilah memahami tujuan pidato ini terlebih dahulu.

Untuk menyediakan teks pidato yang baik memerlukan kemahiran yang tinggi.

 

Contoh Teks Pidato

MEMBINA FIKRAH BENAR

Assalammualaikum w.b.t

Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillahi rabbil ‘alamin wasolatu wassalamua’la asyrafil anbia iwalmursalin wa’ala alihi wasohbihi ajma’in.

Terima kasih kepada Tuan Pimpinan Majlis, kombinasi panel kehakiman pejuang neraca keadilan seterusnya hadirin dan hadirat sekalian.

‘Membina Fikrah Benar’. Begitulah tajuk pidato yang akan saya sampaikan pada hari ini.

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘Membina’ didefinisikan sebagai membangunkan, mendirikan atau mengusahakan sesuatu sehingga maju.

Menurut Dr. Muhsin Abdul Hamid dalam Tajdid Fikr Islamiy, ‘Fikrah’ disebut sebagai kefahaman umat Islam serta pemikiran mereka terhadap risalah Islam.

‘Benar’ pula dapat diertikan sebagai betul atau tiada was-was.

Secara tuntasnya, dapatlah saya nyatakan di sini bahawa membangunkan pemikiran dan kefahaman yang betul dan tanpa was-was mampu melahirkan seorang individu Islam yang berjaya.

Hadirin dan hadirat yang dimuliakan,

Kata kunci saya yang pertama dalam konteks, Ilmu Pengetahuan.

Untuk membina fikrah benar, seseorang individu perlulah mempunyai ilmu pengetahuan meliputi pelbagai aspek iaitu agama dan ilmu dunia. Penerapan ilmu pengetahuan dilakukan melalui pembacaan buku-buku agama, berkongsi ilmu dan kefahaman, menghadiri ceramah, kuliah dan sebagainya.

Sepertimana firman Allah dalam Surah Al-Ankabut ayat 43 :

“Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia, dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Catatan sejarah telah merekodkan bahawa perkembangan pesat Tamadun Islam di tanah Arab hanya mengambil masa yang singkat iaitu tidak sampai dua abad jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun lain. Salah satu faktor utama yang mendorong hal ini adalah disebabkan kesedaran terhadap kepentingan menuntut ilmu berpandukan kesempurnaan ajaran Islam itu sendiri yang berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah.

Benarlah, ilmu pengetahuan penting sebagai salah satu kunci membina fikrah yang benar.

Hadirin sekalian,

Kata kunci saya kedua dalam konteks, Pelaksanaan Amal.

Ilmu yang dikumpulkan tidak ada gunanya sekiranya tidak dilaksanakan dan diamalkan. Ilmu ini sekiranya disimpan akan hilang dan menjadi suatu kerugian. Sepertimana pepatah arab ada menyebut, ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah.

Sejarah Islam membuktikan kebangkitan kecemerlangan tamadun Islam negara Sepanyol pada abad yang ke-8 disebabkan oleh pemimpin Islam pada ketika itu amat cinta kepada ilmu pengetahuan dan mengamalkannya walaupun keseluruhan negara Barat lain masih dalam ‘dark ages’ atau zaman kegelapan.

Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah As-Shaff ayat 2-3 :

“Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”

Jelaslah, ilmu yang dipelajari perlulah diamalkan bagi membentuk fikrah yang benar.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Kata kunci saya yang ketiga dalam konteks, Ikhlas dan sanggup berkorban.

Bagi membina dan membangunkan suatu pemikiran yang benar, sifat ikhlas dan sanggup berkorban demi agama haruslah disemai dalam jiwa setiap individu Islam. Penerimaan tanpa syarat dan taat kepada perintah Allah dan Rasulullah s.a.w serta sanggup berkorban mempertahankan agama Islam yang tercinta.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Az-Zumar ayat 2 :

Sesungguhnya Kami telah turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (al-Quran) dengan kebenaran, maka sembahlah Allah dengan sebenar-benar ikhlas.

Kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail yang sanggup berkorban disembelih oleh ayahnya sendiri kerana keteguhan dan keyakinannya yang utuh terhadap Islam. Sifat ini dibajai dengan ilmu, amal dan ikhlas yang mampu melahirkan individu Islam yang sebenar.

Hadirin sekalian,

Kata kunci saya yang keempat dalam konteks, Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

Sebagai individu Islam, Al-quran dan Hadis Rasulullah s.a.w merupakan dua perkara yang memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran dan perlakuan umat Islam. Setiap muslim mesti berpegang teguh kepada Al-Quran dan Hadis Rasulullah agar tidak tersesat dalam dunia yang serba mencabar ini.

Kehebatan al-Quran sememangnya telah lama diiktiraf oleh Cendekiawan Barat. Pada tahun 1982, Keith Moore, seorang profesor di Universiti Toronto, telah menulis sebuah buku berjudul : “The Developing Human, edisi ketiga”. Di dalamnya, Moore menceritakan kehairanannya dengan ‘cerita pertumbuhan embrio di dalam Al-Quran’.

Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 2 :

Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.

Jelas menunjukkan, Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w merupakan kunci penting bagi membentuk fikrah yang benar.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Kata kunci saya yang kelima dan terakhir dalam konteks, Istiqamah.

Istiqamah bererti berpendirian teguh atas jalan yang lurus, berpegang pada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah dan berpaling walau dalam apa-apa keadaan sekalipun. Dalam agama, istiqamah amat penting bagi memastikan kelangsungan iman seseorang individu Muslim.

Ini bertepatan dengan Hadis Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :

 

”Dari Aisyah r.a. berkata : Nabi pernah ditanya :”Manakah amal yang paling dicintai Allah? Beliau bersabda :”Yang dilakukan secara terus menerus meskipun sedikit”.(Riwayat Bukhari)

Lihat sahaja keperibadian Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang sentiasa istiqamah dalam melaksanakan urusan agama dan menyebarkan dakwah Islam. Sifat istiqamah dan berterusan dalam amalan seperti inilah yang perlu dipupuk dan disemai dalam jiwa setiap umat Islam bagi melahirkan satu pemikiran yang benar, telus dan berlandaskan agama.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Berdasarkan kelima-lima konteks yang saya sebutkan sebentar tadi, jelaslah bahawa ilmu pengetahuan, pelaksanaan amal, ikhlas dan sanggup berkorban, Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. serta Istiqamah mampu melahirkan individu Islam yang berjaya dan mendorong ke arah pembangunan pemikiran yang benar-benar menurut syariat Islam.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Artikel Lain :Koleksi Pantun 

1 thought on “Contoh Teks Pidato Bahasa Melayu (Format & Isi Menarik)”

Leave a Comment