Kelebihan Puasa Muharam & Tarikh Puasa Sunat Hari Asyura / Tasu’a

Kelebihan Puasa Muharam & Tarikh Puasa Sunat Hari Asyura / Tasu’a 

Puasa Muharam Asyura

Saban tahun apabila menjelang bulan Muharram, sudah tentu umat Islam akan mengingati tarikh 10 Muharram dengan pelbagai amalan dan ibadah yang dilakukan contohnya puasa Muharam & Asyura. Apakah keistimewaan dan kelebihan yang ada pada hari ke 10 dalam bulan Muharram?Jika mengimbau kembali puluhan tahun yang lalu, sudah menjadi tradisi umat Islam di Malaysia apabila tibanya 10 Muharram, maka kebanyakan dari Ahli Jawatankuasa masjid dan surau bertungkus lumus membuat persiapan untuk menyediakan juadah khusus yang memang terkenal iaitu Bubur Asyura untuk diagih-agihkan kepada orang ramai.

Itulah antara adat atau tradisi yang baik yang dilakukan oleh umat Islam di Malaysia bahkan tradisi ini masih wujud sehingga ke hari ini disamping melakukan amal ibadah khusus yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW iaitu berpuasa.

 

Sejarah Hari Asyura

Mengimbau semula sejarah 10 Muharram yang dirujuk kepada hadis-hadis Rasulullah SAW adalah penting bagi mencari kebenaran dan merungkai keraguan ummah seterusnya memastikan amalan yang dilakukan oleh umat Islam hari ini bertepatan dengan kehendak syariat Islam dan menjauhi perkara atau amalan yang sengaja diada-adakan.

Salah satu daripadanya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda SAW melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’, lalu Baginda bertanya: Apakah ini?. Mereka menjawab:  Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa Lalu Baginda SAW bersabda: Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu, maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu terdapat sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada oleh Syaidatina Aisyah R.A bermaksud; “Hari ‘Asyura adalah suatu hari yang mana orang-orang Quraish berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Dan Rasulullah S.A.W juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi SAW berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun apabila difardhukan puasa Ramadhan, baginda bersabda mafhumnya: Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah ia (pada hari ‘Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah ia (puasa ‘Asyura)”. (Riwayat: al-Bukhari dan Muslim)

Inilah di antara contoh hadis-hadis sahih yang menyebut tentang amalan berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram). Dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura’ merupakan suatu perkara yang wajib sebelum difardhukan puasa Ramadhan. Apabila puasa Ramadhan difardhukan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ia tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut.

Sejarah yang lebi kanjut boleh rujuk pautan ini : https://www.thepatriots.asia/sejarah-10-muharam-serta-kaitannya-dengan-peristiwa-karbala-bubur-asyura/

 

Tarikh Hari Asyura / Tasu’a 2023

Rebutlah peluang kedatangan bulan Muharam untuk melakukan banyak puasa sunat khususnya pada 9hb Muharam (27hb Ogos 2022) dan 10hb Muharam (28hb Julai 2023) di samping memperbanyak solat malam.

 

Senarai Kelebihan Puasa Muharam Asyura

Malahan berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram) mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri sebagaimana  hadis yang diriwayatkan oleh Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda: “Puasa hari ‘Asyura’ itu; sesungguhnya Aku bermohon kepada Allah agar dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya.” (Riwayat: al-Tirmizi).

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Puasa yang paling utama setelah Ramadhan adalah puasa di bulan Allah, iaitu MUHARRAM. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat fardhu adalah solat malam.”

(Hadis riwayat muslim, 1163)

1) Sunat berpuasa pada 10 Muharam, berdasarkan hadis bahawa berpuasa pada 10 Muharam memiliki fadilat menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.

2) Disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharam mengiringi 10 Muharam kerana ini perintah Rasulullah SAW agar menyelisihi amalan kaum Yahudi pada zaman baginda.

3) Ulama juga menyatakan jika tidak dapat berpuasa pada 9 Muharam maka berpuasalah pada 10 dan 11 Muharam.

4) Apakah hukum berpuasa pada 10 Muharam sahaja? Menurut Imam Ibnu Hajar di dalam karya beliau “Tuhfah al-Muhtaj”:
قول المتن (وعاشوراء) ولا بأس بإفراده
Maksudnya: Teks (Al-Minhaj) menyebut: “…dan (disunatkan berpuasa) Asyura” dan tidak mengapa hanya berpuasa pada hari itu sahaja.

5) Menurut kenyataan di atas, mazhab Syafi’ie mengharuskan berpuasa pada 10 Muharam sahaja walaupun tanpa iringan puasa pada 9 Muharam.

6) Namun yang amat digalakkan iaitu lebih afdal berpuasa sehari sebelum Asyura kerana itu keazaman baginda pada masa akan datang. Jika tidak dapat berpuasa pada 9 Muharam maka digantikan pada 11 Muharam.
Wallahu’alam.

Niat Puasa Asyura Pada Bulan Muharam

i) Niat Puasa Hari Tasu’a (9 Muharram)

نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى

Maksud:

Sahaja aku puasa sunat Tasu’a kerana Allah Ta’ala.

ii) Niat Puasa Hari ‘Asyura (10 Muharram)

نويت صوم عشر سنة لله تعالى

Maksud:

Sahaja aku puasa sunat ‘Asyura kerana Allah Ta’ala.

Semoga perkongsian kelebihan puasa pada hari asyura di bulan Muharam ini dapat memberikan manfaat kepada anda semua.

 

Artikel Lain : Senarai Tarikh Cuti Perayaan KPM 

1 thought on “Kelebihan Puasa Muharam & Tarikh Puasa Sunat Hari Asyura / Tasu’a”

Leave a Comment