Koleksi Contoh Sajak Kemerdekaan Malaysia Terbaik & Terkini

Koleksi Contoh Sajak Kemerdekaan Malaysia Terbaik & Terkini

Sajak

Tidak laam lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan negara kita. Selain daripada lagu patriotik, kita juga turut mendendangkan sajak untuk menyemarakan lagi semangat patriotisme dikalangan masyarakat.

Kami turut meneydiakan beberapa contoh untuk tatapan anda semua.

 

Apa Itu Sajak

Sajak merupakan puisi Melayu moden yang berbentuk bebas dan tidak terikat pada jumlah baris, perkataan sebaris, rangkap, rima dan sebagainya.

     Sifat bebas yang dimiliki oleh sajak ini bermaksud keupayaan dan kesediaan sajak dalam menerima bentuk-bentuk yang terdapat daripada puisi tradisional mahupun kemunculan bentuk-bentuk baru yang dihasilkan berdasarkan kreativiti dan sensitiviti penyair mahupun penggabungan daripada bentuk -bentuk yang sedia ada. Kebebasan sajak dalam aspek bentuk dapat dilihat melalui cara ianya dihasilkan dan  ditulis. Namun, sajak masih lagi terikat dengan penerapan dan penggunaan bahasa sebagai medium penyampaian.

Maklumat lanjut boleh klik pautan INI

 

SAJAK SEBELUM KEMERDEKAAN 

 Damai (Tanahairku Dan Dunia) 

Usman Awang

Sisa hidup ini hendak kita pelihara

juga tanah, pohon dan buah-buah

juga tulang, daging dan darah

jangan suara jadi parau di musim kemarau.

Tapi tanah kami sudah kerecikan api

lama bermula, tidak hilang sampai kini

dan meski tawaran damai sudah diberi

orang masih tidak peduli!

Pohon getah dan tanah mengandung bijih

rebutan manusia daerah asing

kita gali kubur dan masuk berdiam di dalamnya!

Damai – seruan dan tawaran

damai – untuk tanahairku dan kemerdekaan

damai – untuk dunia dan kesejahteraan!

Mastika, Ogos 1955.

 Malaya Pasti Merdeka 

Affrini Adham

Keseluruhan dari keadaan dan kenyataan

keseluruhan dari kesanggupan dan kebenaran

keseluruhan dari kemungkinan dan kepastian

perpaduan – pendirian – pengorbanan dan perjuangan

-telah benar-benar membangunkan kepercayaan

-telah benar-benar menimbulkan harapan

“Bahawa kemerdekaan yang sekian lama kita perjuangkan

telah dekat – mendekati kita

telah tegas dan nyata

terbayang di hadapan mata

Malaya! Pasti merdeka”.

Kita pasti merdeka!

Kita adalah manusia berbangsa dan bernegara!

Kita bukan boneka!

Kita pasti merdeka

di atas “hak pertuanan” kita

selaras dengan kemerdekaan di mana-mana

sebagai manusia-manusia lain yang berbangsa dan punya negara

Malaya pasti merdeka –

di atas keseluruhan – hak-hak kenegaraannya.

1955

 Pada Tanah Yang Indah 

A. Samad Said

Dalam mata yang bersih merayap cahaya jernih

aku sama menagih kemerdekaan kekasih,

dalam dada yang mesra tenang telaga cinta

aku janji setia membela tanah pusaka.

Kira ribut mendurja mengancam tanah yang indah

setapak tiada kurela untuk melutut kecewa,

biar peluru selaksa mendendam liar mangsanya

untuk kekasih pusaka hatiku tetap rela.

Dalam lari berlari berbaja kasih di hati

azam besi berumbi: melebur penjajah di bumi!

Dalam rindu berpadu, hitam dendam terpendam

aku terlalu merindu fajar cemerlang menjelang.

Hati ini seluruh kasihkan kekasih sepenuh

beri janji yang teguh hingga badanku luluh!

1956

SAJAK SELEPAS KEMERDEKAAN 

 Pintaku Padamu 

Dharmawijaya

Kalau esok kasih kita ‘kan hancur jua

usah ditaburi bumi ini dengan air mata

dunia bukan semata milik orang bercinta

hidup jua bukan semata untuk berlagu kecewa.

di bawah sinar mentari pagi demikian jernihnya

hayunkan gagah langkahmu sepenuh khidmat

usapi kesetiaan hati seluruh umat.

Kalau esok jua hidup dijenguk kematian

usah ditangisi sepinya tanah kelahiran

nyanyikan lagu perindu ke wajah Tuhan

tanda hatimusetia dalam usia pengembaraan.

tau-taulah di bintang satu

di hari hidup kita mengejar bahagia dalam sengsara

di hari mati kita mengira pahala dalam dosa.

1963

Sumpah Anak Watan 

Adi Badiozaman Tuah

Kawan

buat kesekian kalinya

kita titis air mata darah

kita hembus nafas panas api

bersama bulan bintang

ke gunung kita

ke hutan bersama

kita patah duri beracun

terlalu lama menusuk daging

dan kalian di hutan

ketagih pada kibaran bendera merah

ayuh! putar haluan

kembali ke pangkal jalan

anak peribumi

kira berdegilbatu hatinya

buat kesekian kali

kita titis air mata darah

kita hembus nafas panas api

kita bakar mereka

bersama

api yang mereka nyala sendiri

Tatau 73

 Di Sini Di Tanah Ini 

Zam Ismail

Di bumi inilah

tiada lain

nasi dan lauknya

sawah ladang segenggam

menjadilah gegunung perak.

Bukankah tanah ini

sawah ladang ini

yang memberikan nafas

dan anak-anakmu yang menginjak

memamah lumat daging tulang

tanah sejengkal ini

kasihmu masih berbelah

hatimu di bumi lain

asing bagai ikan-ikan di gurun.

Mengucaplah mereka yang wajar mengucap

dengan dua bibir hatimu sendiri

di sinilah udara yang kau hirup

usahlah hembuskan kembali

dengan racun yang berbisa

membunuh pucuk yang baru bertunas

menginjak dahi para wali

yang kepadanya kauberikan kepercayaan.

Tiada kematian yang lebih nikmat

dari mengasihi tanah keramat ini

1975

SAJAK KEMERDEKAAN: 31 OGOS TIBA LAGI

Setiap kali tibamu Ogos

mengerling monumen yang lusuh dan tugu berdarah

dalam matang akal fikir

semangat dan kudrat masih berbaki

merisik khabar pejuang yang jauh

dalam lipatan darmawisata merdeka

mahalnya nostalgia.

Manis dan comelmu Ogos ini tiba jua

menyentak lolong makrifat membiak musim

ceriteranya berderai plotnya berkecai

mengirai skrip duga yang tak sudah

atas aspal fatamorgana bumi bertuah.

Ogos yang sujud di kaki merdeka

tanggal tiga puluh satumu tidak pernah hilang

tetap menyimpul senyum

meskipun termateri kenangan pahit

yang mahal dan cantik.

Hari ini mentari 31 Ogos memancar lagi

bersama gemersik angin di bumi bertuah

mendewasakan ukhuwah dan ummah

siap siaga warga berdaulat memahat sejarah

dalam tamadun bangsa yang gah.

Terima kasih pejuang tanah merdeka

terima kasih aduhai tanah airku Malaysia!

WAN ZAHARI WAN ALI,

SMK Saujana, Setiu, Terengganu.

SAJAK KEMERDEKAAN: KETAATAN DAN KEBERANIAN

Berjanjilah kami demi keberanian

melalui suara-suara hijaz

putaran kemerdekaan

menyusur sungai-sungai mati

kepada insan seikat masyarakat

yang telah bebas.

Dalam sejarah kepahitanmu

terselit larian aku anak kecil

dibentuk dalam kelas-kelas rendah

hingga ke kamar dewasa

jiwa ini digantung loceng mongel

lalu direntap-rentap

terbawa-bawa.

Titisan darah ibuku

pada papan cendana pejal

masih melekat di situ

di perigi yang telah terkambus

hanyir masih terbau

tembuni dalam diam berubah fosil

atas tanah yang merdeka.

Seperti selalu

berlarilah kami dengan sebuah bendera kecil

menyamai pemberian hadiah bapamu

kami menyebut MERDEKA!!!

MERDEKA!!! MERDEKA!!!!

NAFISA

Marang, Terengganu

 

Artikel Lain : Lagu Patriotik Hari Merdeka

Leave a Comment