Permohonan Surat Penyelesaian Cukai (SPC) LHDNM (Muat Turun)

Permohonan Surat Penyelesaian Cukai (SPC) LHDNM (Muat Turun)

Surat Penyelesaian Cukai

Majikan sektor awam dan swasta bertanggungjawab di bawah subseksyen 83(3) dan (4) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) bagi memaklumkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam tempoh yang ditetapkan berhubung pemberhentian kerja atau pemberhentian disebabkan kematian dan pekerja yang hendak meninggalkan Malaysia bagi tujuan mendapatkan Surat Penyelesaian Cukai (SPC)

Kami akan kongsikan berkenaan surat penyelesaian cukai tersebut.

 

Apa Itu Surat Penyelesaian Cukai (SPC)

SPC merupakan perakuan yang dikeluarkan oleh LHDNM kepada majikan berkaitan hal-ehwal cukai pendapatan pekerja yang akan berhenti kerja / bersara / hendak meninggalkan Malaysia atau pekerja yang meninggal dunia.

 

Tindakan Majikan Berkenaan Surat Penyelesaian Cukai (SPC)

Tindakan yang perlu dilakukan oleh majikan adalah:

  1. memaklumkan kepada LHDNM tidak kurang 30 hari sebelum tarikh pemberhentian pekerja / bersara / pekerja dijangka meninggalkan Malaysia; atau tidak lebih 30 hari selepas dimaklumkan kematian pekerja berkenaan
  2. menahan apa-apa bahagian wang yang akan atau boleh dibayar kepada pekerja dan tidak membayar apa-apa bahagian wang tersebut tanpa kebenaran LHDNM sehingga tempoh 90 hari dari tarikh Borang CP21, CP22A, atau CP22B (yang mana berkenaan) diterima oleh LHDNM
  3. membayar semua atau sebahagian amaun wang yang ditahan kepada LHDNM apabila diarahkan pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut

Rekod pematuhan cukai seseorang pekerja adalah komponen penting yang akan disemak oleh LHDNM sebelum SPC dikeluarkan. Pekerja perlu memastikan pendapatan yang diterima berhubung dengan suatu penggajian dilaporkan dengan mengemukakan borang nyata (Borang B, BE, BT, M atau MT).

Pekerja yang mempunyai pendapatan penggajian dan potongan cukai bulanan (PCB) boleh memilih untuk tidak mengemukakan borang nyata kepada LHDNM berkuat kuasa mulai Tahun Taksiran 2014. Jika pilihan telah dibuat, iaitu tidak mengemukakan borang nyata, maka PCB yang telah dipotong oleh majikan adalah dianggap sebagai Cukai Muktamad.

 

Peranan Pekerja 

Pekerja juga disarankan supaya menyemak rekod pematuhan cukai mereka terlebih dahulu dengan LHDNM sebelum majikan mengemukakan Borang CP21, CP22A dan CP22B. Rekod dan dokumen percukaian bagi mana-mana pendapatan dan tuntutan pelepasan yang dibuat perlu disimpan sekurang-kurangnya tujuh (7) tahun dari akhir tahun di mana pendapatan dan tuntutan itu dikaitkan.

 

Peranan Majikan

Majikan hendaklah menggunakan borang yang disediakan oleh LHDNM bagi tujuan pemakluman:

Borang CP21Pemberitahuan pekerja meninggalkan Malaysia
Borang CP22Pemberitahuan pekerja baharu
Borang CP22APemberitahuan pemberhentian kerja atau pemberhentian disebabkan kematian bagi pekerja swasta
Borang CP22BPemberitahuan pemberhentian kerja atau pemberhentian disebabkan kematian bagi pekerja agensi kerajaan

 

Borang tersebut boleh dimuat turun dan dikemukakan kepada LHDNM dengan mengikut langkah mudah seperti berikut:

 

  1. Layari Portal Rasmi LHDNM di hasil.gov.my;
  2. Klik menu Borang > submenu Muat Turun Borang > Lain-lain Borang > Borang CP21 / CP22A / CP22B; dan
  3. Lengkapkan maklumat serta kemukakan ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan pekerja atau ke cawangan LHDNM yang berhampiran jika tiada nombor cukai pendapatan.

 

LHDNM juga telah menyediakan perkhidmatan dalam talian bagi membolehkan majikan mengemukakan Borang CP21, CP22A dan CP22B yang boleh diakses di Portal Rasmi LHDNM, www.hasil.gov.my > MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-SPC.

Selaras dengan pindaan ke atas subseksyen 83(3) dan (4) ACP 1967 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021, Borang CP21, CP22A dan CP22B hendaklah dikemukakan oleh majikan menggunakan borang yang ditetapkan oleh LHDNM di bawah seksyen 152 ACP 1967.

Bagi memastikan majikan menjalankan tanggungjawab yang ditetapkan selepas berkuat kuasanya pindaan ACP 1967 berkenaan, LHDNM telah memberikan kelonggaran kepada majikan untuk menggunakan dan mengemukakan borang kertas bagi Borang CP21, CP22A dan CP22B sehingga tempoh 31 Disember 2021 seperti berikut:

 

Jenis Borang

Kaedah Pengemukaan Borang Kertas

Borang CP21, CP22, CP22A dan CP22B

(versi SELAIN borang yang ditetapkan di bawah seksyen 152 ACP 1967)

Secara tangan

Melalui pos

E-mel

Borang CP21, CP22, CP22A dan CP22B

(versi borang yang ditetapkan di bawah seksyen 152 ACP 1967)

Secara tangan

Melalui pos

E-mel

 

Pemberian kelonggaran bagi kaedah pengemukaan di atas adalah sebagai persediaan kepada pihak majikan untuk mengemas kini dan menambah baik sistem pembayaran gaji (payroll system) sedia ada supaya memenuhi kehendak dan tanggungjawab di bawah ACP 1967.

Mulai 1 Januari 2022, kaedah yang dibenarkan untuk mengemukakan Borang CP21, CP22A dan CP22B (versi borang yang ditetapkan di bawah seksyen 152 ACP 1967) adalah secara dalam talian melalui e-SPC, serahan tangan dan pos sahaja. Sehubungan itu, Borang CP21, CP22A dan CP22B yang dikemukakan seperti perkara di bawah akan dianggap tidak boleh diterima oleh LHDNM dan majikan hendaklah mengemukakan semula borang berkenaan berdasarkan ketetapan yang dibenarkan:

  1. Borang yang menggunakan format sendiri atau borang versi selain borang yang ditetapkan di bawah seksyen 152 ACP 1967.
  2. Borang dikemukakan melalui e-mel atau faksimile.

Majikan dikehendaki menggunakan borang yang ditetapkan dan mengemukakannya mengikut kaedah yang dibenarkan selepas tempoh kelonggaran yang diberikan berakhir bagi memastikan maklumat yang dikemukakan kepada LHDNM adalah lengkap dan teratur.

Pengemukaan Borang CP21, CP22A dan CP22B secara dalam talian (e-SPC) amatlah digalakkan.

Kelewatan atau kegagalan mengemukakan Borang CP21, CP22A dan CP22B tanpa alasan yang munasabah merupakan suatu kesalahan dan sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM200 atau tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam (6) bulan atau kedua-duanya di bawah subsekyen 120(1) ACP 1967.

SPC akan dikeluarkan mengikut Piagam Pelanggan LHDNM iaitu dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh Borang CP21, CP22A dan CP22B diterima serta tertakluk kepada penerimaan dokumen dan maklumat yang lengkap. SPC juga akan dihantar kepada majikan dan disalinkan kepada pekerja untuk makluman.

Oleh yang demikian, kerjasama yang diberikan oleh majikan dan pekerja terhadap permohonan SPC ini amatlah penting bagi membolehkan LHDNM dapat memproses permohonan tersebut dengan lancar.

 

Artikel Lain

SEMAKAN NO TIN (Check Nombor Pengenalan Cukai)

2 thoughts on “Permohonan Surat Penyelesaian Cukai (SPC) LHDNM (Muat Turun)”

  1. Macamana kita org boleh menyemak LHDN sudah siapkan semakan E-SPC? Gaji ditahan dan keperluan hari memerlukannya. Pengurusan Sumber Manusia hanya bagi surat gaji tanpa duit gaji dan menyuruh kita org mengikuti E-SPC dgn pegawai LHDN sendiri kerana tiada jawapan bagi tentang. Bolehkah kita org pergi mengadu di JTK?

    Balas
    • Saya juga turut mengalami nasib yang sama. Setiap kali saya membuat panggilan ke bahagian yang menjaga bahagian SPC, tiada sebarang jawapan. Apabila saya cuba membuat semakan status permohonan dalam sistem MyTax dengan memasukkan nombor pengenalan cukai dan nama, saya mendapat error “Tiada rekod dijumpai”.

      Balas

Leave a Comment